Pentadbiran Daerah Dalat adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Dalat yang diketuai oleh Pegawai Daerah serta dibantu oleh beberapa kakitangan. Manakala, kawasan Daerah Kecil Oya diselia oleh Pejabat Daerah Kecil Oya yang diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Tadbir Sarawak dan dibantu oleh beberapa kakitangan.
Daerah Dalat boleh dihubungi melalui jalan raya dan pengangkutan air. Kemudahan jalan raya boleh menghubungkan kawasan-kawasan lain yang mempunyai jaringan jalan raya kecuali kawasan Baoh. Pengangkutan air pula merupakan alternatif terbaik untuk sampai ke kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat. Kebanyakan penduduk daerah Dalat tinggal di kawasan pinggir sungai walaupun sudah wujud jaringan jalan raya kerana pengangkutan air dapat menghubungkan kawasan-kawasan kebun yang tidak mempunyai jaringan jalan raya. Pengangkutan air ini juga masih digunakan oleh bot laju penambang untuk pergi ke bandar Sibu.
Daerah Dalat terletak di antara Daerah Mukah dan Daerah Matu dalam bahagian Mukah. Sungai Mudan, Oya dan Muara Sungai Kut, Dalat merupakan sempadan antara pentadbiran Daerah Dalat dengan Daerah Matu. Manakala, Kampung Penat, Oya merupakan sempadan antara Daerah Dalat dengan Daerah Mukah.
Daerah Dalat adalah berkeluasan 905.29 km persegi yang merangkumi Daerah Kecil Oya. Daerah Dalat mempunyai 16 buah kampung dan 22 buah rumah panjang. Manakala Daerah Kecil Oya mempunyai sembilan buah kampung yang terletak di kawasan pesisiran pantai yang mempunyai kawasan jaringan jalan raya yang menghubungkan pekan Dalat, Oya serta Daerah Mukah. Daerah Kecil Oya adalah berkeluasan 147.47 km persegi.
|