Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Agenda Pembangunan Pemangkin Sarawak Maju Pada 2030
Tarikh : 22 May 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Sarawak mempunyai agenda pembangunan bukan sahaja untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi malah menjadi negeri maju menjelang 2030.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pimpinan Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa program khusus untuk mentransformasikan pembangunan luar bandar dalam memangkin Sarawak kepada taraf yang lebih maju dan progresif.

“Saya percaya sokongan rakyat yang padu kepada perjuangan kita selama ini akan terus kekal kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam dengan suatu hakikat untuk menyambung perjuangan dalam mencapai status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi,” ujarnya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020, hari ini.

Beliau turut berkata, sarawak telah banyak berubah daripada negeri yang paling mundur dalam tahun 60-an dan 70-an dan kini telah menjadi negeri yang paling progresif dan maju.

Tambahnya pembangunan ekonomi negeri sarawak bukan saja semakin aktif dan moden dalam negara bahkan dalam rantau ini. 

“Pada suatu ketika ekonomi negeri Sarawak mempunyai per kapita RM4,000 sahaja dan dewasa ini telah melonjak kepada lebih RM40,000 iaitu lebih 10 kali ganda pertambahannya,” katanya.

Tun Taib berkata, kepercayaan rakyat kepada pemimpin perlu diterjemah kepada satu tanggujawab yang berat dan membawa kewajipan untuk bersikap sentiasa adil dan senantisa memerhati hak-hak orang Islam dan bukan Islam juga.

“Usaha hendaklah dipertingkatkan lagi untuk membantu rakyat dalam golongan yang berpendapatan rendah supaya mereka dapat mengikut jejak langkah mara ke hadapan dengan kemajuan negara yang semakin lebih maju. 

“kita mesti mengelak keadaan di mana ada segolongan rakyat yang kekal ketinggalan daripada arus pembangunan," tambahnya.