Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Warganegara Malaysia Dibenar Rentas Negeri Ke Sarawak Dan Daerah Mulai 10 Jun Ini
Tarikh : 09 Jun 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan dilaksanakan berkuatkuasa 10 Jun 2020, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengadakan mesyuarat khas pada pagi tadi bagi membincangkan perkara tersebut. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Embas, Sarawak akan mematuhi keputusan Kerajaan Persekutuan dengan beberapa penambahbaikan garis panduan dan SOP mengikut kesesuaian Negeri Sarawak 

“Selaras dengan pengumuman oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, penjarakan sosial dalam pesawat dikecualikan sepenuhnya bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual termasuk general aviation, private jet operation dan helikopter,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media COVID-19 Sarawak pada Selasa. 

Dalam pada itu, semua warganegara Malaysia juga dibenarkan untuk rentas negeri ke Sarawak dan rentas Daerah dalam Sarawak berkuatkuasa 10 Jun 2020.

Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut menambah, semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu memohon melalui SDMC dan tidak perlu mengambil sampel (PCR Test) tiga (3) hari sebelum berlepas ke Sarawak.

“Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP seperti berikut berkuatkuasa 10 Jun 2020 dengan wajib memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan (E-Health Declaration) (http://sdmc.sarawak.gov.my).

“Pelawat akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri sama ada di udara, darat dan laut dan memuat turun COVID Trace Sarawak dan Qmunity,” tambahnya.