Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Kerajaan Bincang Isu Harga Tiket Penerbangan Mahal
Tarikh : 09 Jun 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 


KUCHING: Kementerian Pengangkutan kini sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat penerbangan berhubung isu harga tiket penerbangan domestik yang mahal terutamanya ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasil perbincangan tersebut akan diberitahu kepadanya dalam masa terdekat.

“Kita faham harga tambang penerbangan mahal kerana pelaksanaan penjarakan sosial, jadi tidak boleh berkapasiti penuh. 

“Dengan pematuhan penjarakan sosial, hanya 66 peratus sahaja ruang yang dipenuhi di dalam kapal terbang itu. 

“Kita tahu harga tiket mencecah hampir RM2,000 bagi sehala penerbangan contohnya dari Miri ke Kuala Lumpur, justeru kita akan berbincang... semoga tidak ada isu lagi untuk mereka menaikkan harga tambang dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Tambah Ismail Sabri lagi, terdapat permohonan daripada pihak syarikat penerbangan supaya jumlah penumpang ditambah bagi membolehkan memenuhi kerusi di dalam kapal terbang. 

"Mereka memberi alasan segala butiran penumpang boleh diperoleh melalui manifes syarikat berkenaan dan penumpang di setiap penerbangan juga boleh dikesan jika berlakunya kes dan perlu dihubungi.

"Tetapi, apa yang paling penting sekarang adalah SOP (Prosedur Operasi Standard) perlu dipatuhi untuk membendung penularan wabak COVID-19,” tambahnya. 

Sebelum ini, ramai di kalangan rakyat Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati dengan harga tiket penerbangan domestik yang agak mahal dan menjadi topik hangat di media sosial.

Ini disebabkan ramai di kalangan rakyat yang mahu pulang ke kampung susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun ini yang membenarkan pergerakan rentas negeri dengan ramai yang perlu kembali ke tempat bertugas.