Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Patuhi SOP Pembukaan Masjid Dan Surau Untuk Elakkan Penularan Wabak COVID-19
Tarikh : 08 Jun 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 


KUCHING: Susulan kebenaran pembukaan masjid dan surau bagi sembahyang berjemaah 5 waktu dan solat Jumaat bermula 9 Jun ini, Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan menyebarluaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) untuk rujukan umat Islam di Sarawak 

Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin menyatakan, umat Islam boleh mendapatkan SOP ini di Bahagian Institusi Masjid JAIS dan di Pejabat Agama Islam Bahagian masing-masing.

“Sukacita saya jelaskan di sini bahawa untuk menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid tersebut, tempoh pembukaan masjid atau surau adalah satu (1) jam sebelum azan dan hendaklah ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan. 

“Kelas pengajian tetap antara maghrib dan isyak boleh dijalankan dengan syarat mematuhi penjarakan sosial (1 meter) dan hendaklah ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak. 

“Mana-mana aktiviti pengimarahan lain adalah tidak dibenarkan seperti kuliah subuh, kuliah dhuha dan sebagainya,” katanya semasa sidang media Kebenaran Mendirikan Solat Jumaat Semasa Atau Selepas Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) Bagi Masjid Negeri, Masjid Bahagian dan Masjid Daerah Di Negeri Sarawak pada Isnin.

Tambah Kipli lagi, mereka yang mempunyai sejarah penyakit COVID-19 dan penyakit kronik khususnya warga emas dan kanak-kanak bawah umur tidak digalakkan untuk ke masjid dan surau. 

“Mana-mana individu yang disahkan positif COVID-19 atau yang baharu sembuh COVID-19 atau yang mempunyai gejala demam, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri semua aktiviti di masjid dan surau.

“Warga emas, mana-mana individu berisiko terhadap jangkitan COVID-19 (seperti mempunyai penyakit kronik, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan lain-lain) dan kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah adalah dinasihat tidak hadir ke masjid dan surau,” tambahnya. 

Turut dibenarkan penggunaan pembesar suara dalam dan luar masjid dan surau dan pemakaian garis panduan ini berkuatkuasa daripada 9 Jun 2020 sehingga suatu tarikh yang akan diputuskan kemudian.