Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Terima Kasih Barisan Hadapan, Rakyat Sarawak Atas Usaha Membantu Mengekang COVID-19
Tarikh : 13 Jun 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak dan petugas barisan hadapan di negeri ini yang membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19.

Katanya, kepatuhan rakyat Sarawak terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan juga menyumbang kepada penurunan kes di negeri ini.

"Rakyat kita berdisiplin sehingga mampu membantu usaha kita mengekang COVID-19 apabila mereka mematuhi PKP yang dilaksanakan.

“Kita juga amat berterima kasih kepada petugas barisan hadapan, sama ada polis, angkatan tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sudah tentunya petugas Jabatan Kesihatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata kerajaan turut menghargai usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang dipengerusikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta pasukannya yang bekerja gigih memastikan jangkitan wabak berkenaan menurun di kalangan rakyat negeri ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha meringankan beban rakyat semasa tempoh PKP, menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Ujarnya, kerajaan negeri juga telah membantu membawa pulang pelajar-pelajar dari Sarawak yang terkandas di Semenanjung serta pelajar tempatan agar mereka dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita juga telah berbincang untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi termasuk pelan jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha kita memulihkan ekonomi.

“Bagi jangka pendek, kita meneruskan projek-projek infrastruktur yang telah diluluskan termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo dan projek jalan pesisir pantai,” katanya sambil memberitahu selain Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).

Bagi jangka panjang katanya, kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak dan perbincangan kini sedang dijalankan dengan mendapatkan input dari kerajaan, sektor swasta, akademik dan profesional.

Beliau berkata, terdapat 10 sektor yang ditumpukan dibawah majlis berkenaan yang mungkin menjadi norma baharu untuk membangunkan ekonomi Sarawak pada masa akan datang.