Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Ketua Menteri Gesa Semua Wakil Rakyat PBB Buat Persiapan Hadapi PRN-12
Tarikh : 13 Jun 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Semua wakil rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta untuk membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang bila-bila masa boleh diadakan sebelum tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir Mei 2021.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menggesa semua wakil rakyat parti itu untuk mula turun ke peringkat akar umbi.

“Saya telah meminta wakil rakyat kita untuk turun padang. Saya tidak tahu bila PRN akan diadakan tetapi sudah pastinya semua pihak perlu mempersiapkan diri mereka untuk menghadapinya.

“Setahun tidak lama, kita perlu bersedia. Jangan membuat persiapan di saat akhir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak terburu-buru untuk membubarkan DUN kerana negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19.

“Kita perlu mendapatkan panduan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimana hendak menjalankan pilihan raya dalam keadaan sedemikian (COVID-19),” katanya lagi.