Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Petronas Perlu Mematuhi Keputusan Mahkamah – Ketua Menteri Sarawak
Tarikh : 13 Jun 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu mematuhi keputusan mahkamah dengan membayar tuntutan Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah lebih RM2.8 bilion kepada Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata keputusan mahkamah itu adalah berdasarkan kepada Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Inter-Governmental Committee (IGC) Report.

“Petronas perlu mematuhi keputusan mahkamah bahawa mereka perlu membayar cukai SST berdasarkan kepada Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan IGC.

“Apa yang berlaku, Petronas perlu membayar cukai tersebut dan kerajaan persekutuan mahu isu ini diselesaikan. Bermakna mereka tidak perlu untuk membuat rayuan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB hari ini. 

Ketua Menteri juga menjelaskan Petronas hanya akan mula membayar cukai berkenaan kepada Sarawak sebaik proses menarik balik rayuan mahkamah selesai.

Katanya, syarikat itu sedang dalam proses menarik balik rayuan berkenaan yang perlu mengambil masa mengikut prosedur ditetapkan mahkamah.

Tambah Ketua Menteri lagi, kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan bersama Menteri Kewangan, Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Infrastruktur, Dato’ Sri Fadillah Yusof bagi membincangkan penyertaan Sarawak dalam industri minyak dan gas bersama-sama dengan pihak Petronas.