Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Kerajaan Kekal Dengan Pendirian Tidak Dedah Laporan Akhir JKKKMA63
Tarikh : 28 Jul 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengekalkan pendirian bahawa tiada keperluan untuk laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (JKKKMA63) diedarkan kepada umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dato Hajah Hanifah Hajar Taib berkata, pendirian itu kekal memandangkan isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan melibatkan perkara-perkara yang sensitif.

Malah jelas beliau, status dokumen Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan MA63 adalah merupakan rahsia rasmi bertaraf “Rahsia”. 

"Penarafan ini adalah dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

"Oleh yang demikian, status dokumen ini kekal bertaraf rahsia rasmi dan perlu diberikan perlindungan sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya bagi menjawab perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berhubung status laporan akhir MA63 pada usul Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Dato Hanifah memberitahu, buat masa ini juga, status perbincangan berhubung empat perkara ini masih diteruskan, di mana kerajaan akan menyambung perbincangan mengenainya dalam majlis khas yang akan ditubuhkan dalam sedikit masa lagi. 

Selain itu katanya, satu Jawatankuasa Bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga telah ditubuhkan bagi membincangkan mengenai penyelesaian komersial berhubung minyak dan gas.

"Jawatankuasa ini adalah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya bersama dengan Menteri Kewangan dan diurusetia oleh Kementerian Kewangan. 

"Perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sarawak masih lagi berlangsung manakala perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah mengenai perkara yang sama dijangka akan menyusul kemudian," katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri (BHESS JPM) sedang memantau perkembangan pelaksanaan 17 perkara yang telah diputuskan oleh JKKKMA63 daripada semasa ke semasa. 

"Selain itu, BHESS bertanggungjawab sebagai urus setia kepada majlis khas yang akan ditubuhkan oleh kerajaan bagi memantau serta membincangkan mengenai hala tuju selanjutnya berhubung semakan pelaksanaan MA63," ujar beliau lagi.