Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Hampir 2,000 pelajar dapat manfaat Program Bas Sekolah Percuma Sarawak
Tarikh : 28 Jul 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Program Bas Sekolah Percuma Sarawak yang akan bermula pada 3 Ogos depan bakal memanfaat hampir 2,000 pelajar dari 30 sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuching.

Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang berkata program dilaksanakan Yayasan Sarawak itu bertujuan mengurangkan beban ditanggung ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Objektif program ini adalah untuk membantu ahli keluarga pelajar yang berpendapatan rendah. 

“Jika mereka membelanjakan RM120 sebulan untuk pengangkutan, wang tersebut boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya semasa sesi taklimat bersama pengamal media hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan akan diadakan di bandar-bandar besar terlebih dahulu dengan Kuching sebagai perintis sebelum diperluas ke Miri, Sibu dan Bintulu.

Ditanya samada program berkenaan akan diperluaskan di kawasan lain, Azmi berkata ianya bergantung dengan kesediaan persatuan-persatuan bas untuk melaksanakan program berkenaan.

Katanya, pelajar yang hendak menggunakan perkhidmatan bas atau van itu perlu memuat turun aplikasi yang berperanan sebagai sistem pengesanan bagi memudahkan mereka mengetahui jadual pergerakan dan lokasi kenderaan yang digunakan.

“Aplikasi ini bukan sahaja untuk pelajar, ia juga membantu kita untuk mengesan pergerakan bas samada mereka menggunakan laluan ditetapkan atau tidak,” katanya.

Sebanyak 46 bas dan van akan digunakan dalam program berkenaan yang membabitkan 22 laluan di 18 zon di seluruh Kuching.