Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Masa Operasi Perniagaan Di Zon 1 Dikurangkan, Kemasukan Ke Sarawak Perlu Jalani Kuarantin 14 Hari
Tarikh : 28 Jul 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 

KUCHING: Berkuatkuasa 1 hingga 14 Ogos 2020, operasi perniagaan di kawasan Zon 1 meliputi Kuching, Samarahan dan Serian dikurangkan dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak terpaksa mengambil keputusan ini sebagai usaha mengawal penyebaran COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini. 

“Sangat menyedihkan apabila kita harus sekali lagi mengenakan larangan tersebut. 

“Kami memahami bahawa perniagaan akan terjejas teruk disebabkan larangan ini, tetapi perlu bagi kita untuk mengawal penyebarannya.

“JPBN Sarawak akan bekerjasama dengan agensi dan pemain industri yang relevan untuk mencari keseimbangan antara kesihatan rakyat dan kesihatan ekonomi rakyat Sarawak,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 Sarawak pada Selasa. 

Oleh itu, beliau memohon kepada semua orang untuk memahami dan bersabar dalam menghadapi situasi ini ketika melaksanakan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi melindungi semua orang.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak dalam pada itu turut mengumumkan dua lagi keputusan yang telah diambil dalam mesyuarat harian JPBN Sarawak hari ini. 

“Semua bukan warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sarawak dari luar negara, tidak perlu membuat ujian RT-PCR 3 hari sebelum berlepas dari negara asal. 

“Sebaliknya, apabila tiba di Sarawak, mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR pada hari ke-2 dan hari ke-10. 

“Kos kuarantin dan Ujian RT-PCR adalah tanggungan sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pekerja industri minyak dan gas, mereka yang datang ke Sarawak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dengan menjalani Ujian RT-PCR pada hari ke 2 dan 10. 

“Jika keputusan negatif, mereka akan dibenarkan pergi ke pelantar minyak untuk bekerja di mana kos kuarantin dan ujian RT-PCR ditanggung majikan.

“Sementara itu, mereka yang hendak ke luar Sarawak, perlu menjalani ujian RT-PCR pada hari kedua dan sekiranya keputusan negatif, mereka dibenarkan keluar tanpa perlu menjalani penyambungan kuarantin. 

“Warganegara yang keluar dari luar negara, mereka perlu melalui proses kuarantin seperti sedia ada. Bagi yang keluar dari Malaysia, mereka akan dikuarantin sementara menunggu keputusan ujian RT-PCR dengan kos kuarantin dan ujian adalah tanggungan sendiri,” katanya. 

Dalam keadaan tersebut, kos kuarantin dan ujian RT-PCR bagi rakyat Sarawak akan ditanggung Kerajaan Sarawak manakala bukan rakyat Sarawak, di bawah tanggungan sendiri.