Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Tambah Peruntukan Projek, Pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Semop Amat Dinanti-Nantikan - Yusuf Abd Wahab
Tarikh : 28 Jul 2020  Sumber Berita: Edisi UKAS (FB)
 


KUALA LUMPUR: Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 Kampung Semop amat diperlukan bagi menyediakan kemudahan kesihatan kepada masyarakat di sebelah selatan Pulau Bruit.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, pembangunan Klinik Kesihatan Kampung Semop amat dinanti-nantikan oleh penduduk setempat memandangkan tiada kemudahan kesihatan yang berdekatan.

Sehubungan itu jelasnya, beliau memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia menaikkan peruntukan bagi pembinaan klinik tersebut supaya tiada lagi penangguhan disebabkan oleh sebut harga yang terlampau tinggi berbanding tender yang dikeluarkan. 

"Jadi kalau kementerian boleh menaikkan peruntukan, saya yakin projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 Kampung Semop ini dapat dilaksanakan selepas beberapa kali ia ditangguhkan akibat sebut harga tinggi berbanding tender dikeluarkan," katanya kepada UKAS semasa Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, menerusi projek tersebut kelak, ia bukan sahaja dapat memberi perkhidmatan kepada Kampung Semop, namun juga kepada penduduk kampung lain dan para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di situ.

Malah katanya, Klinik Kesihatan Kampung Semop itu juga mampu menyediakan perkhidmatan kepada para penghuni yang menetap di sekitar Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Semop.

"Tidak kurang daripada 1,500 orang akan berada di RGC Semop, jadi keperluan untuk membangunkan sebuah klinik di Semop adalah sangat mendesak.

"Itulah kita berharap tender kali ini dapat menjayakan projek pembinaan klinik ini," katanya.