Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Kerajaan Negeri sasar jadikan Sarawak negeri maju pada 2030
Tarikh : 29 Sep 2020  Sumber Berita: EDISI UKAS
 

MATU: Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Zohari telah menetapkan tahun 2030 untuk menjadikan Sarawak negeri maju.
Menurut ADUN Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya lebih RM10 bilion telah dibelanja dan sedang dibelanjakan untuk memastikan kemajuan di Sarawak.
Katanya, di Daerah Matu dan Daro sahaja, lebih ratusan juta ringgit dibelanjakan melibatkan pembinaan tiga jambatan dan pembangunan yang lain yang telah dan sedang dilaksanakan.
Sehubungan itu, semasa Majlis Perasmian Program Kepolisan Komuniti Peringkat Daerah Matu (Siri V) pada Isnin, Dr Juanda menyeru masyarakat peringkat akar umbi untuk mengambil peluang memajukan diri.
Jelasnya, rakyat yang mempunyai sikap bertanggungjawab terutama di peringkat akar umbi adalah salah satu faktor menjadikan kawasan dan negeri itu maju.
“JKKK hasus menjadi ejen untuk membawa Sarawak menjadi negeri yang maju.”
Sementara itu, semasa sesi perjumpaan bersama KMKK Daerah Matu dan Lantikan Ketua Kaum Baru, Dr Juanda berkata KMKK harus mengetahui apa-apa maklumat dan semua perkara mengenai kawasan jagaan mereka dan menjadi jambatan kepada pihak kerajaan.
“KMKK perlu persiapkan diri dan mahir dengan data dan profil kawasan masing-masing kerana ianya diperlukan setiap masa.
“Kepimpinan di akar umbi memerlukan rangkaian hubungan antara satu sama lain untuk memantapkan kerjasama yang akan menentukan pembangunan yang akan dibawa ke kawasan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, KMKK juga mesti berani berdepan dengan masyarakat dalam menyampaikan maklumat dan menyelesaikan isu serta masalah dengan sabar dan bijak.