Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Portal Rasmi
Pentadbiran Bahagian Mukah

Projek Jalan Passin Matu jadi kenyataan
Tarikh : 27 Sep 2020  Sumber Berita: Jiwa Bakti Official
 

 

MATU: Impian penduduk di Sungai Passin untuk menikmati kemudahan jalan raya bakal menjadi realiti, apabila projek Jalan Passin Matu yang bernilai RM65 juta dijangka siap pada tahun 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, suntikan dana besar yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai usaha menyediakan kemudahan rangkaian jalan raya kepada penduduk di kawasan terbabit.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan projek bekalan elektrik juga bakal siap tidak lama lagi dan projek bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan terbabit.
“Justeru, penduduk di kawasan ini harus bersedia menerima pembangunan yang bakal tiba.
“Kawasan ini pada mulannya dirancang untuk bekalan elektrik solar dan akhir ditukar kepada sistem pendawaian untuk kebaikan jangka masa panjang.
“Kerajaan Sarawak telah membelanjakan peruntukan yang sangat besar bagi memastikan pembangunan kawasan ini tidak ketinggalan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kepolisan Komuniti Peringkat Daerah Matu Siri IV di Dewan Masyarakat Sungai Passin.
Katanya, pemimpin di peringkat akar umbi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) harus memainkan peranan dalam menyampaikan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Muara Sungai Nyamuk akan dibangunkan dengan sebuah menara komunikasi bagi kawasan Sungai Passin.
“Projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan memerlukan kerjasama daripada pemimpin dan masyarakat di kawasan ini,” ujarnya.
Shafie telah menyampaikan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada enam buah JKKK kawasan Sungai Passin, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Passin dan Kelab Kebajikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Mukah melibatkan jumlah keseluruhannya sebanyak RM39,000.