Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Mukah Perlukan Stadium Tertutup Baru

Disiarkan pada 16 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS



MUKAH: Mukah memerlukan stadium tertutup yang baru dalam usaha memacu pembangunan sukan di bahagian itu ke peringkat yang lebih cemerlang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata dengan adanya prasarana sukan yang lebih baik dan selesa akan dapat digunakan untuk melaksanakan aktiviti sukan seperti hoki dan futsal serta aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Menyentuh mengenai sukan hoki, katanya Mukah tidak memiliki padang khas untuk sukan berkenaan, tetapi dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, skuad hoki Mukah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan hoki yang diadakan di peringkat negeri terutamanya pertandingan melibatkan peringkat umur bawah 18 tahun, 15 tahun dan 12 tahun.

Katanya, pada awal bulan Mac yang lepas, Mukah telah menjuarai Kejohanan SSC-PHNS peringkat negeri bagi kategori Lelaki 15 tahun ke bawah yang turut mendapat dua anugerah iaitu pemain & penjaga gol terbaik kejohanan.

Manakala pada awal bulan Mei yang lepas pula, pasukan Mukah juga telah menjuarai dua kategori Lelaki 17 Tahun & Perempuan 17 tahun serta tempat ketiga Lelaki 15 tahun di Kejohanan Hoki Padang 4 Sebelah Terbuka Sarawak yang dianjurkan oleh SMK St Columba dan Persatuan Hoki Bahagian Miri.

Justeru, beliau percaya dengan adanya stadium tertutup akan membolehkan atlet hoki di Mukah menjalani latihan dengan lebih intensif bagi melahirkan pemain-pemain hoki yang berkaliber dan boleh mewakili Sarawak di kejohanan yang lebih besar kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa meninjau sesi latihan pasukan Hoki Mukah di Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, Mukah pada Sabtu untuk Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Bahagian Mukah yang akan diadakan penghujung Jun ini.

Sesi latihan dikendalikan oleh Cikgu Jutim Joem, Cikgu Khairul, Cikgu Sri Megawati & Cikgu Isma Rafidah bagi skuad hoki lelaki & perempuan kategori 18 tahun dan 15 tahun ke bawah.

Untuk rekod, Royston sering mengutarakan cadangan pembinaan stadium tertutup baharu di Mukah dalam beberapa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas melihat kepada keperluan pembangunan sukan-sukan yang berkaitan hoki, futsal dan juga keperluan aktiviti keramaian melibatkan masyarakat yang ramai. - EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman