Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Kaul Mukah Menampilkan Keunikan Budaya Masyarakat Melanau

Posted on 26 Apr 2025
Source of News: UKAS


 
MUKAH: Selari dengan tema ‘Tiada Seuniknya’, Kaul Mukah pada tahun ini tampil dengan lebih meriah, dengan pelbagai aktiviti yang sememangnya sinonim dengan keunikan budaya masyarakat Melanau di sini.

Pengisian pada sebelah pagi dimulakan dengan menghilir Sungai Telian yang disertai bot-bot nelayan yang dihiasi dengan motif anyaman daun nipah dan ‘Seraheng Kakan’.

Rombongan bot yang didahului oleh bot yang membawa ‘Seraheng Kakan’ kemudiannya disusuli dengan acara simbolik penyerahan tepak sireh dan ‘bintang’ iaitu kelengkapan adat di pintu kuala usai tiba di tapak Kaul.

Menariknya kali ini, Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib turut menyertai perarakan menghilir Sungai Tellian.

Setelah itu, Bapa Kaul akan memacak ‘Seraheng Kakan’ sebelum mengisi makanan ke dalamnya sebagai sajian kepada ‘Ipok’ yang merupakan semangat yang dipuja oleh masyarakat Melanau.

Kemudian, ia diteruskan dengan menabur beras kuning sambil ‘miyab mibau’ iaitu bacaan mentera untuk membuat permohonan.

Kebiasaannya, permohonan murah rezeki baik dari aspek perolehan hasil laut, hasil hutan dan kesihatan yang berpanjangan diselitkan dalam ‘miyab mibau’, sebelum Bapa Kaul menabur beras kuning berkenaan kepada pengunjung yang hadir.

Setelah selesai semua acara berkenaan, tetamu kehormat dan hadirin yang hadir akan menikmati juadah makanan tradisional kaum Melanau bersama-sama, sebagai tanda berakhirnya simbolik pemujaan ‘Ipok’.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman