picture
 

Sejarah Pentadbiran Daerah Dalat


  Pejabat Daerah Dalat - sekitar Tahun 1970an
Daerah Dalat telah diisytiharkan sebagai sebuah daerah pada 2 April 1974 yang merangkumi kawasan seluas 2210.1 km persegi. Bermula tahun 1974 hingga 28 Februari 2002, daerah ini terletak di bawah pentadbiran Bahagian Sibu. Pentadbiran daerah pada masa itu meliputi kawasan Oya hingga ke Ulu Pakoh iaitu Oya, Dalat Proper, Nanga Baoh, Nanga Tamin, Stapang, Skim Sekuau dan Nanga Pakoh. Ketika itu daerah Dalat mempunyai empat buah pekan, 23 buah kampung dan 115 buah rumah panjang.
 

Pejabat Daerah Dalat - sekitar Tahun 1980an
 

Namun pada 1 Mac 2002, setelah Mukah diisytiharkan menjadi bahagian ke-10 di Sarawak, daerah ini telah diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Mukah yang meliputi kawasan seluas 905.29 km persegi. Ia meliputi kawasan dari Kampung Penat hingga ke Oya, Muara Sungai Kut hingga ke Ulu Baoh yang mempunyai tiga pekan, 23 buah kampung dan 22 buah rumah panjang.

Penduduk daerah ini terdiri daripada masyarakat Melanau, Iban, Cina serta beberapa etnik lain. Lokasi penempatan penduduk adalah berselerak dari kawasan pekan, pinggir pekan, kampung hingga ke kawasan pinggir pantai dan ulu sungai.

Daerah ini merupakan daerah pertanian yang terkenal dengan penanaman pokok rumbia dan nanas ‘Pada/Sawit’ di samping tanaman buah-buahan tempatan yang lain. Daerah ini juga merupakan pengeluar terbesar tepung lemantak dan sagu. Kebanyakan penduduk terlibat dalam sektor pertanian, pembalakan dan perikanan serta perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta.

 

Bangunan Pejabat Daerah Dalat ini dibina pada tahun 2004 di atas tapak bangunan Pejabat Daerah yang kedua yang dibina pada tahun 1935 dan merupakan bangunan Pejabat Daerah Dalat yang ke empat. Pejabat Daerah pertama terletak di Daerah Kecil Oya yang siap dibina pada 4 September 1926.
 

Pentadbiran Daerah Dalat adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Dalat yang diketuai oleh Pegawai Daerah serta dibantu oleh beberapa kakitangan. Manakala, kawasan Daerah Kecil Oya diselia oleh Pejabat Daerah Kecil Oya yang diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Tadbir Sarawak dan dibantu oleh beberapa kakitangan.

Daerah Dalat boleh dihubungi melalui jalan raya dan pengangkutan air. Kemudahan jalan raya boleh menghubungkan kawasan-kawasan lain yang mempunyai jaringan jalan raya kecuali kawasan Baoh. Pengangkutan air pula merupakan alternatif terbaik untuk sampai ke kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat. Kebanyakan penduduk daerah Dalat tinggal di kawasan pinggir sungai walaupun sudah wujud jaringan jalan raya kerana pengangkutan air dapat menghubungkan kawasan-kawasan kebun yang tidak mempunyai jaringan jalan raya. Pengangkutan air ini juga masih digunakan oleh bot laju penambang untuk pergi ke bandar Sibu.

Daerah Dalat terletak di antara Daerah Mukah dan Daerah Matu dalam bahagian Mukah. Sungai Mudan, Oya dan Muara Sungai Kut, Dalat merupakan sempadan antara pentadbiran Daerah Dalat dengan Daerah Matu. Manakala, Kampung Penat, Oya merupakan sempadan antara Daerah Dalat dengan Daerah Mukah.

Daerah Dalat adalah berkeluasan 905.29 km persegi yang merangkumi Daerah Kecil Oya. Daerah Dalat mempunyai 16 buah kampung dan 22 buah rumah panjang. Manakala Daerah Kecil Oya mempunyai sembilan buah kampung yang terletak di kawasan pesisiran pantai yang mempunyai kawasan jaringan jalan raya yang menghubungkan pekan Dalat, Oya serta Daerah Mukah. Daerah Kecil Oya adalah berkeluasan 147.47 km persegi.

 
picture Pengumuman