Pulau Bruit,Daro Terima Manfaat Pelancaran MySRBN Terbaharu

Posted on 13 Jan 2025
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Pulau Bruit,Daro Terima Manfaat Pelancaran MySRBN Terbaharu


Photo Credit : Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

DARO, SARAWAK,12 Januari 2025 – Kerajaan Sarawak telah melancarkan versi terbaharu Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) bagi mempercepatkan transformasi digital di kawasan luar bandar, dengan Pulau Bruit menjadi lokasi terbaharu menerima liputan tersebut.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, memaklumkan bahawa penambahbaikan MySRBN melibatkan penggunaan menara pintar yang dibangunkan oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) serta kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperluaskan capaian melalui menara Jendela.

Setakat ini, MySRBN telah menerima sambutan menggalakkan dengan 431 pengguna berdaftar, dan jumlah tersebut terus meningkat.


Majlis pelancaran turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SDEC dan U Mobile, sebagai satu langkah kerjasama strategik dalam memperkasa jaringan komunikasi di Sarawak.

Photo Credit : Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Photo Credit : Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Dato Sri Julaihi turut mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion di bawah Program Saluran bagi pembinaan 618 menara komunikasi baharu, serta tambahan 18 menara lagi bagi memperluas liputan ke kawasan pedalaman.

Melalui inisiatif ini, kadar bayaran akses bulanan bagi perkhidmatan MySRBN telah dikurangkan daripada RM70 kepada RM20, manakala selebihnya disubsidi oleh kerajaan.

“MySRBN bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah membuka peluang kepada usahawan luar bandar untuk menyertai ekonomi digital. Produk tempatan seperti sos unjur dan songket Belawai kini boleh dipasarkan secara dalam talian,” katanya.



Tambah beliau, kerajaan Sarawak komited memastikan semua rakyat, termasuk di kawasan luar bandar, menikmati manfaat pembangunan digital, sejajar dengan matlamat menjadikan Sarawak sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.


Photo Credit : Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarmoto Osman, Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Pengarah MCMC Sarawak, Adiman Ajem, serta tetamu kehormat lain.

Pejabat Daerah Daro merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat, khususnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, SDEC, MCMC, dan pihak penyedia perkhidmatan atas usaha berterusan dalam memperkasa jaringan komunikasi luar bandar. Kerjasama padu ini amat dihargai dan diharapkan akan terus mempercepatkan kemajuan digital di kawasan Daro dan sekitarnya.