Perutusan Pegawai Daerah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
 
Menuju Ke Arah Daro yang Maju, Digital dan Terhubung
Zul Bin Haji Usup
Dengan penuh kesyukuran dan iltizam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus bersama-sama memajukan Daerah Daro. Seiring dengan perkembangan dunia yang semakin pantas dan bersifat digital, pentadbiran Daerah Daro turut melangkah ke hadapan dalam memperkukuh aspek pendigitalan perkhidmatan awam serta memacu pembangunan infrastruktur logistik yang inklusif dan mampan.
 
Ke arah Transformasi Digital
Sebagai langkah awal ke arah Daro yang lebih cekap dan moden, Pejabat Daerah Daro komited dalam mengadaptasi penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam. Usaha ini termasuk pemantapan sistem pengurusan maklumat, penggunaan platform digital dalam komunikasi rasmi, serta galakan terhadap literasi digital dalam kalangan masyarakat luar bandar. Pendekatan ini diyakini mampu mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan dan memperluas akses kepada kemudahan kerajaan.
 
Kemajuan Infrastruktur Logistik – Jambatan Penghubung Strategik
Sebagai sebuah daerah yang memiliki keunikan geografi dengan kawasan pulau dan pesisir, keperluan kepada jaringan logistik yang lebih efisien amat penting. Justeru, kami menyambut baik perancangan serta pelaksanaan projek pembinaan jambatan strategik yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial di kawasan luar bandar.
 


Antara projek penting yang sedang dirancang atau dilaksanakan termasuk:
1. Jambatan Igan yang bakal menghubungkan Mukah ke Daro secara langsung, memendekkan masa perjalanan dan mempercepat urusan logistik antara dua kawasan penting ini.

2. Jambatan Muara Lassa, satu jaringan penting yang akan menghubungkan tanah besar Daro ke Pulau Bruit, sekaligus memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas dan peluang ekonomi.

3. Jambatan Batang Paloh, Sambungan ke Daerah Tanjung Manis, Sibu dan Sarikei melalui pembangunan rangkaian jalan dan jambatan yang lebih efisien. Ini bukan sahaja menghubungkan penduduk tetapi juga mewujudkan laluan perdagangan dan pelaburan yang rancak.
 
Saya yakin dengan adanya transformasi digital dan pemantapan logistik ini, Daerah Daro akan mampu menjadi sebuah daerah yang berdaya saing, inklusif, dan terhubung dengan pusat-pusat pertumbuhan utama di rantau ini. Kerjasama dan sokongan semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, pemimpin masyarakat dan rakyat adalah amat dihargai demi mencapai hasrat pembangunan bersama.
 

ZUL BIN HAJI USUP
Pegawai Daerah Daro