JAMBATAN MUARA LASSA RASMI – PEMACU PEMBANGUNAN PESISIR SARAWAK

Posted on 20 Jun 2025
Source of News: Jabatan Kerja Raya Sarawak

JAMBATAN MUARA LASSA RASMI – PEMACU PEMBANGUNAN PESISIR SARAWAK

MUARA LASSA, DARO | 22 Febuari 2025 – Aspirasi penduduk kawasan pesisir untuk menikmati kemudahan infrastruktur moden kini menjadi kenyataan apabila Jambatan Muara Lassa yang menghubungkan kawasan Daro dan Pulau Bruit dirasmikan secara rasmi oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, dalam satu majlis penuh gilang-gemilang.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran barisan pemimpin utama negeri dan Parlimen, termasuk YB Tuan Haji Safiee bin Haji Ahmad, ADUN N.43 Daro; YB Datuk Abdullah bin Haji Saidol, ADUN N.42 Semop; YB Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Igan; serta YB Tuan Ir. Haji Yusuf bin Abdul Wahab, Ahli Parlimen Tanjung Manis. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua jabatan, pemimpin komuniti serta lebih 1,000 penduduk setempat.

Jambatan sepanjang 2,430 meter yang siap sepenuhnya pada 9 Januari 2025 ini dibina bagi menggantikan keperluan penggunaan perkhidmatan feri merentasi Batang Lassa, yang sebelum ini menjadi satu-satunya penghubung bagi penduduk setempat. Penggunaan feri lazimnya mengambil masa sekitar 30 minit, dan tempoh menunggu boleh mencecah lebih sejam pada waktu puncak seperti hujung minggu dan musim perayaan. Pembinaan jambatan ini telah berjaya mempercepatkan pergerakan, melancarkan urusan harian penduduk serta menjimatkan kos pengangkutan.


 

Pejabat Daerah Daro turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak kontraktor, agensi teknikal serta komuniti tempatan atas kerjasama erat dalam menjayakan projek ini sehingga selesai dan selamat digunakan.

Dengan perasmian Jambatan Muara Lassa ini, Daerah Daro dan kawasan sekitarnya kini melangkah ke era baharu pembangunan yang lebih mampan dan inklusif – sekali gus membawa manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti pesisir Sarawak.