PROJEK BEKALAN AIR BERSIH DI DARO DIBERI KEUTAMAAN, KERAJAAN SARAWAK LANCAR 12 PROJEK BERNILAI RM714.72 JUTA

Disiarkan pada 06 Aug 2025
Sumber Berita: JAPEN Daro, JBALB Sarawak


Daro, 30 Julai 2025

Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak terus komited dalam usaha menambah baik sistem bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro melalui pelaksanaan sebanyak 12 projek bekalan air dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM714.72 juta.



Majlis perasmian bagi salah satu projek utama, iaitu Projek ‘Acute System’ Daro, telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Loji Rawatan Air Daro.

Majlis turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Safiee Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri N.43 Daro, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak, Encik Shafrie Saili, Timbalan Residen Bahagian Mukah, Encik Zul bin Haji Usup, Pegawai Daerah Daro serta pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua masyarakat dan wakil-wakil agensi kerajaan.



Dalam ucapannya, YB Tuan Haji Safiee Ahmad menyatakan bahawa isu bekalan air bersih sentiasa diberi keutamaan dalam perbahasan DUN kerana ianya merupakan keperluan asas yang sangat penting bagi penduduk Daro dan kawasan sekitarnya.

Menurut taklimat yang disampaikan oleh Ir. Abang Ismail Abang Selim, Jurutera Air Bahagian JBALB Mukah, lima (5) projek telah siap dengan kos sebanyak RM55.10 juta, melibatkan pembinaan tangki aras tinggi, stesen pam penggalak dan pemasangan paip baharu. Tujuh (7) lagi projek kini dalam peringkat perancangan dan pembinaan dengan anggaran kos RM659.6 juta, manakala dua (2) projek gantian saluran paip lama pula melibatkan kos RM1.15 juta.
YB Menteri turut melawat ke tapak pameran projek serta meninjau Tangki Aras Tinggi Badong selepas majlis perasmian.



Kerajaan Sarawak melalui JBALB Sarawak akan terus memastikan pelaksanaan kesemua projek ini dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan bagi menjamin bekalan air yang lebih berkualiti, mampan dan menyeluruh kepada seluruh komuniti di Daerah Daro.
Sumber: Khalid Aini (JAPEN Daro) & JBALB Sarawak