PESTA DARO 2025 PERKASA PELANCONGAN LUAR BANDAR DAN SELARI DENGAN PCDS 2030

Posted on 13 Aug 2025
Source of News: JAPEN DARO, UKAS Sarawak


DARO, 26 Julai 2025 – Pesta Daro 2025 yang merupakan antara acara tahunan utama daerah ini telah berjaya menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar daerah, sekali gus memperkukuhkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa sektor pelancongan luar bandar yang kaya dengan warisan budaya dan keindahan alam semula jadi.



Majlis perasmian pesta ini telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menyatakan sokongan berterusan kementeriannya terhadap program berimpak tinggi seperti Pesta Daro dalam usaha mempromosikan pelancongan domestik dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
“Sarawak amat aktif menganjurkan pelbagai acara dan festival di seluruh negeri. Setiap minggu pasti ada majlis atau program berlangsung di pelbagai daerah yang memberi impak ekonomi secara langsung kepada masyarakat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, YB Safiee Ahmad menekankan bahawa pembangunan pesat yang sedang berlangsung di Daro adalah selari dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang digariskan oleh Kerajaan Sarawak.

Menurut beliau, pelbagai projek pembangunan utama telah diluluskan dan dilaksanakan di Daro di bawah pimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. Antara projek berimpak tinggi tersebut termasuklah pembinaan Jambatan Muara Lassa, Masjid Daerah Daro, Dewan Masyarakat Daro, Medan Selera Daro dan Pasar Baru Daro, yang telah mengubah landskap dan imej Daro sebagai pusat pertumbuhan baharu.



Turut dirancang adalah pembinaan Pasar Tani, Anjung Usahawan, Kompleks Pentadbiran Baharu Daro, Tebingan Daro serta Pusat Digital dan Inovasi Daro yang bakal melonjakkan daya saing dan keterhubungan kawasan ini.

YB Safiee turut menyeru agar masyarakat Daro mengambil peluang daripada arus pembangunan ini untuk memajukan diri dalam bidang ekonomi seperti pertanian, perikanan, industri hiliran, pembungkusan produk serta pemasaran secara digital dan inap desa.

Jambatan Muara Lassa yang telah siap dan Jambatan Batang Paloh yang bakal disiapkan dijangka terus merancakkan akses ke Daro dan menjadikan kawasan ini sebagai hub penghubung utama antara Matu, Oya, Igan, Mukah, Sarikei dan Kuching.



Sepanjang Pesta Daro 2025, pelbagai acara menarik telah dianjurkan termasuk persembahan kebudayaan, jualan produk tempatan, pertandingan rakyat, sukan air, pameran jabatan kerajaan serta persembahan artis jemputan, yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung. Hotel dan inap desa di Daro turut mencatatkan tempahan penuh sepanjang tempoh pesta, malah pengunjung juga menginap di kawasan sekitar seperti Matu dan Pulau Bruit.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Ahli Parlimen P.207 Igan, YB Ahmad Johnie Zawawi; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; Pegawai Daerah Daro merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Daro 2025, Tuan Zul Usop serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat.



Pesta Daro 2025 bukan sahaja meraikan budaya dan komuniti tempatan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan transformasi luar bandar Daro selari dengan aspirasi PCDS 2030.

Disediakan oleh:
Pejabat Daerah Daro
Sumber: EDISI UKAS & JAPEN Daro