Pesta Pulau Bruit 2025: Memperkasa Budaya, Pertanian dan Pelancongan Pulau Bruit

Posted on 15 Aug 2025
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

DARO, 26–28 September 2025 – Pesta Pulau Bruit 2025 akan berlangsung di Kampung Semop, Pulau Bruit dengan konsep Mini Agro Feast sebagai inisiatif mempromosikan warisan budaya, hasil pertanian, produk tempatan, serta potensi pelancongan yang dimiliki pulau tersebut.


Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama Pejabat Daerah Daro, Pusat Khidmat ADUN Semop, dan Pusat Khidmat Tanjung Manis, yang turut berperanan sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.



Menariknya, pengisian awal pesta akan dimulakan sebelum tarikh rasmi melalui pelbagai aktiviti yang melibatkan 13 penempatan kampung di seluruh Pulau Bruit. Aktiviti yang dirancang merangkumi pertandingan sukan, kebudayaan, keagamaan dan keusahawanan, memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat secara aktif.

Sepanjang pesta, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan serta jemputan khas dari Semenanjung Malaysia. Turut diadakan ialah pameran produk komuniti, demonstrasi masakan tradisional, jualan makanan, dan pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.



Penganjur menjangkakan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah, yang akan memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

Pejabat Daerah Daro menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan Pesta Pulau Bruit 2025 dan merasai sendiri keunikan budaya, citarasa tempatan, serta keindahan Pulau Bruit.



Sumber: EDISI UKAS