12 Disember 2025 | Semop, Sarawak – Kerajaan terus memperkukuh komitmen dalam menjaga kebajikan komuniti nelayan melalui pelaksanaan Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) Semop, yang kemuncaknya telah disempurnakan dengan Majlis Penyerahan Rumah pada hari Jumaat lalu.
Majlis bersejarah ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Abdullah bin Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N42 Semop. Beliau turut diiringi oleh Yang Berbahagia Encik Hamdan bin Mamat, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Projek PSN Semop ini merupakan inisiatif pembangunan perumahan berskala besar hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak. Ia bertujuan menyediakan kediaman baharu yang lebih selesa, selamat, dan berkualiti tinggi bagi meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan.
"Sumbangan dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak membuktikan kesungguhan mereka dalam memastikan nelayan menikmati taraf hidup yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kesejahteraan keluarga nelayan secara menyeluruh," ujar YB Datuk Abdullah dalam ucapannya.
Pelaksanaan PSN Semop bukan sahaja menyediakan persekitaran kediaman yang terancang dan kondusif, malah ia diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti nelayan yang lebih mampan dan berdaya saing, seiring dengan agenda Keterjaminan Makanan Negara dan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut Hadir:
- YBhg. Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah bin Haji Zaidel
- YB Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab
- YBhg. Datu Kueh Lei Poh
- YBhg. Datu Lester Mathew
- Yang Berusaha Encik Zul bin Haji Jusup
- Pengarah PMN, Puan Norfajarwati binti Baharudin
- Pengarah LKIM Negeri Sarawak, Encik Sundralingam A/L Nagaiah
- Timbalan Pengarah LKIM Sarawak, Muhammad Dzulkarnain bin Othman
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran ketua-ketua jabatan, masyarakat, dan kaum setempat.