Kebajikan Asnaf DUN Daro Terus Diperkasa Menjelang Ramadan 1447H

Disiarkan pada 02 Mar 2026
Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
Daro – Kebajikan golongan memerlukan terus menjadi agenda utama di Daerah Daro apabila seramai 300 asnaf dari 15 buah kampung dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro disantuni melalui Majlis Santunan Asnaf Ramadan Al-Mubarak 1447H yang berlangsung di Masjid Al-Muhsinin pada 28 Februari 2026, Sabtu.
 

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Yang Berhormat Dr. Safiee bin Haji Ahmad. Program tahunan ini merupakan manifestasi keprihatinan kepimpinan tempatan dalam memastikan Kebajikan golongan memerlukan terus terbela, sekali gus meringankan beban mereka dalam membuat persediaan menyambut bulan suci.
 
Dr. Safiee yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) menegaskan bahawa bulan Ramadan seharusnya menjadi medan untuk memupuk sifat ihsan dan peka terhadap Nasib golongan kurang berkemampuan.

 
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pertubuhan kebajikan dan pihak swasta yang sentiasa bersatu padu dalam menghulurkan bantuan bagi memperkukuh semangat kebersamaan Masyarakat di Daro.

 
Dalam majlis berkenaan, para penerima telah menerima sumbangan berupa sumbangan tunai dan buah kurma, serta pek beras 5kg sumbangan ikhlas daripada Daro Freshmart Prosper (DFM) Sdn. Bhd.
 
Majlis turut diserikan dengan slot pengisian rohani menerusi tazkirah bertajuk “Ramadan Membina Kekuatan Ummah” yang disampaikan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Daro, Al-Fadhil Ustaz Anas Sarip.


 
Turut hadir memeriahkan majlis :
  • Datu Kueh Lei Poh, Residen Bahagian Mukah.
  • Encik Zul Usup, Pegawai Daerah Daro.
  • DSP Rahim Mihos, Ketua Polis Daerah Matu-Daro.