DARO – Semangat perpaduan dan nilai keprihatinan jelas terpancar melalui penganjuran Program Agihan Bubur Lambuk yang berlangsung di perkarangan Rumah Rehat Kerajaan Daro pada 3 Mac 2026, Selasa lalu.
Program murni sempena bulan Ramadan ini merupakan anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Daro dengan Kerjasama strategik Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Daro.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Daro, Encik Zul bin Haji Usup, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, YB Dr. Safiee bin Haji Ahmad.
Menurut Ketua Bahagian Pejabat Baitulmal Sarawak Bahagian Mukah, Encik Osman Immun, program ini bukan sekadar aktiviti tahunan, malah menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama antara agensi Kerajaan di daerah ini selain menyantuni Masyarakat setempat secara langsung.
Aktiviti bermula seawal jam 8.00 pagi dengan penglibatan anggota daripada APM Daro, IPD Matu Daro, BBP Daro, TBS Daro dan Pejabat Daerah Daro yang berganding bahu menyediakan juadah secara gotong-royong. Hasil daripada Kerjasama tersebut :
- Sebanyak 1,200 beg mengandungi bubur lambuk, minuman dan kurma telah disediakan.
- Agihan diberikan kepada orang ramai serta pengguna jalan raya di sekitar Pekan Daro.
- Selain agihan juadah, petugas turut mengambil kesempatan memberi nasihat keselamatan jalan raya kepada para pengguna jalan raya.
Penganjuran program seumpama ini membuktikan bahawa sinergi antara jabatan dan komuniti Adalah teras kepada keharmonian di Daerah Daro, selaras dengan kemuliaan bulan Ramadan yang menuntut nilai kasih sayang dan perpaduan.