Mukah Perkukuh Agenda Kelestarian dan Sosioekonomi Melalui Program SDGs 2024
Posted on 18 Nov 2024
Source of News: UKAS
MUKAH: Program Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) Daerah Mukah 2024 berjaya menyatukan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar serta memperkasakan sosioekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata program ini bertujuan mempromosikan kelestarian alam sekitar sambil memastikan pembangunan mampan melalui pelbagai inisiatif.
Beliau turut menegaskan pentingnya memanfaatkan SDG sebagai panduan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat Mukah.
“Hari ini, kita mempromosikan kelestarian alam sekitar dan memperkasakan sosioekonomi melalui pemberian bantuan untuk memastikan pembangunan yang mampan.
“Inisiatif seperti ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi bagi manfaat jangka panjang komuniti,” katanya dalam Program Sustainable Development Goals Daerah Mukah 2024 di Tapak Kaul Kala Dana, Mukah pada Sabtu.
Program ini menyaksikan aktiviti gotong-royong pembersihan pantai dan penanaman 100 pokok di Tapak Kaul Kala Dana sebagai langkah memelihara dan memulihara alam sekitar.
Aktiviti tersebut melibatkan penyertaan seramai 400 peserta daripada UiTM, Politeknik, CENTEXS, serta pelajar sekolah menengah dan rendah sekitar Mukah.
Selain itu, program ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam menjayakan agenda pembangunan mampan, sejajar dengan visi SDG untuk melahirkan masyarakat yang lebih lestari, inklusif dan progresif.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, wakil Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Kharina Dawek, Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan EKUINAS Hizwani Hassan, Associate Executive Press Metal Sdn Bhd Mansel Kasal dan wakil Pegawai Hutan Daerah Sibu Abdul Rahman Nona. - EDISI UKAS