Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
Hanifah (empat kanan) merakam kenangan bersama tetamu lain selepas perasmian tersebut.
MUKAH: Makanan tradisi masyarakat di Mukah perlu dikekalkan agar ia tidak pupus dan dapat dinikmati hingga bila-bila masa.
Hanifah (tiga kanan) menyempurnakan perasmian simbolik MFF 2024, di Mukah, malam tadi.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata kita semua bertanggungjawab untuk mengekalkan tradisi makanan tersebut.
“Ini kerana makanan tradisi juga merupakan sebahagian daripada keistimewaan dan kebudayaan masyarakat kita.
“Disebabkan itu, ia perlu dikekalkan agar lebih dikenali oleh masyarakat luar,” katanya.
Hanifah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mukah Food Festival (MFF) 2024 di Tapak Kaul Mukah di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Hanifah, yang juga Ahli Parlimen Mukah, memuji usaha peniaga yang memperkenalkan makanan luar ke Mukah.
“Dengan adanya makanan dari luar yang diperkenalkan, masyarakat kita dapat membeli dan merasainya sendiri.
“Bukan itu sahaja, malah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di Mukah.
“Manakala itu, bagi pengunjung dari luar, mereka dapat merasai makanan tradisi masyarakat kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga untuk sentiasa menjaga kebersihan sepanjang festival tersebut berlangsung.
Sementara itu, Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Aini Suhaili, berkata pada kali ini, penyertaan gerai jualan mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga.
“Untuk makanan, ada sebanyak 90 gerai, manakala gerai jualan lain-lain sebanyak 123 lot pada kali ini.
“Pada MFF tahun lepas, kita memperoleh pendapatan sebanyak RM1.8 juta, dan insya-Allah pada kali ini, ia akan meningkat,” katanya.
MFF 2024 telah bermula pada 15 November lepas dan akan berakhir pada 1 Disember akan datang.