Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Mukah – Komuniti Sejahtera Penuh Bererti, di Dewan Skim Penempatan Semula (SPS) Sungai Alo, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, seramai 169,961 penagih dadah dikesan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara dari tempoh Januari hingga September.
Jelasnya, jumlah ini meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada tahun lepas iaitu 128, 911 orang.
Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah memberitahu bahawa Kospen dan Pemadam saling melengkapi dalam membentuk masyarakat sihat.
“Ini sekali gus meningkatkan kesedaran, pembangunan komuniti serta pencegahan penyakit dan penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
“Komuniti setempat perlu memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan bagi membentuk amalan sihat dan memberi kesedaran bahaya dadah dalam kalangan masyarakat.
“Jenayah dadah perlu dilaporkan kepada agensi berkenaan walaupun ia melibatkan kenalan atau ahli keluarga sendiri,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hanifah turut menggalakkan pelibatan masyarakat dalam aktiviti sihat kerana ia merupakan salah satu penyelesaian untuk membendung gejala ini berlaku.
Tegasnya, penagih perlu diberi peluang untuk berubah dan komuniti perlu mengeratkan silaturahim, berinteraksi serta libatkan mereka dalam aktiviti masyarakat.
Ujarnya, mereka juga perlu diberikan peluang pekerjaan supaya boleh memulakan hidup baharu tanpa stigma daripada masyarakat sekeliling.