Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Daerah Kecil Balingian, Padawan dinaik taraf kepada daerah penuh

Posted on 18 Nov 2024
Source of News: TVS
Datuk John Sikie Tayai
 

KUCHING, 18 Nov: Daerah Kecil Balingian dan Padawan akan dinaik taraf kepada daerah penuh dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.

Beliau berkata, ia sebagai usaha Kerajaan Sarawak mengukuhkan keberkesanan dan kecekapan daerah serta daerah kecil di wilayah ini.

Menurutnya, pada masa sama proses naik taraf itu membantu memperkasa penyampaian perkhidmatan awam kepada masyarakat.

“Cadangan naik taraf akan mengambil kira beberapa asas termasuk mempunyai kawasan cukup luas dan berpotensi dalam menyumbang kepada aktiviti ekonomi yang tinggi.

“Selain itu, ia berupaya menyumbang kepada aktiviti bagi urusan rasmi yang tinggi seperti dapat memberikan kutipan hasil memuaskan dan meningkatkan perkhidmatan lebih efisian.

“Di samping itu, kepadatan penduduk yang tinggi bagi sesuatu kawasan dan asas-asas pertimbangan lain yang difikirkan sesuai oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Sementara itu menurutnya, Pejabat Daerah Lingga dan Pejabat Daerah Kecil Maludam akan dinaik taraf dalam tempoh 24 bulan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak.

Tambahnya, kedua-dua projek pembinaan tersebut akan dimulakan pada suku ketiga tahun 2025.

“Pertapakan bagi pembinaan kedua-dua projek telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri.

“Kedua-dua projek dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025 dan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 24 bulan,” ujarnya.

John Sikie menjelaskan, kerajaan akan membina sejumlah 3,674 unit kuarters di seluruh Sarawak termasuk di Daerah Daro dan Bintulu.
“Projek ini dijangka bermula serentak mengikut fasa dan pelaksanaan dalam tempoh 24 hingga 48 bulan.

“Bagi Jepak, projek kuarters perkhidmatan di Daerah Daro dan Daerah Bintulu termasuk dalam senarai keutamaan dan dijangka akan bermula pada pertengahan tahun 2025,” jelasnya.-TVS



image Undian
image Pengumuman