Bantuan Sejambak Kasih Aidilfitri Diteruskan Di Dalat
Disiarkan pada 22 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS

DALAT: Komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat sekali lagi dizahirkan melalui penganjuran Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2025 Daerah Dalat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program Sejambak Kasih yang telah dilaksanakan lebih 25 tahun ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat terus terbela, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Majlis Sejambak Kasih bukan hanya diadakan untuk Aidilfitri, malah turut meraikan perayaan utama lain seperti Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Krismas dan Deepavali.
“Walaupun bagi Deepavali, program ini hanya dilaksanakan di bahagian Kuching,” katanya ketika hadir menyempurnakan majlis tersebut pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah lagi, program tahunan ini selari dengan misi kerajaan negeri untuk memupuk kesejahteraan komuniti dan meringankan beban rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Pada majlis berkenaan, setiap penerima bukan sahaja menerima wang tunai RM100 dan hamper, malah turut menerima sumbangan berupa kampit beras daripada Dalat Food Convenience Store, kain pasang daripada Syarikat Jasmin Jawahar Sdn Bhd, serta dua buah katil ‘Homecare Bed’ daripada Yayasan Cinta Amal.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Kebajikan Dalat itu memberi manfaat kepada seramai 150 penerima dari kalangan golongan yang memerlukan sempena persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Nurfathira Abdul Rashid, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert dan Temenggong Bahagian Mukah Hendi Suhai.-EDISI UKAS