Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Rancang Perjalanan Dengan Baik, Pastikan Kenderaan Dalam Keadaan Selamat - Safiee

Posted on 21 Mar 2025
Source of News: UKAS


DARO: Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Daerah Daro sempena perayaan Aidilfitri 2025 telah berlangsung dengan jayanya, bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan ketika musim perayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dalam ucapannya menekankan kepentingan keselamatan jalan raya, terutamanya ketika trafik dijangka meningkat secara mendadak sepanjang musim perayaan.

Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dengan baik serta memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

“Jangan jadikan hari yang sepatutnya kita bergembira bersama keluarga bertukar menjadi perkara yang tidak kita ingini,” ujar beliau semasa hadir pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri Daerah Daro bertempat di Perkarangan Rumah Rehat Daerah Daro pada Khamis.

Selain aspek keselamatan jalan raya, Safiee turut menasihatkan penduduk yang beraya di luar kawasan supaya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa dan jiran tetangga.

Beliau turut mengingatkan mereka agar memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat, terutama dari segi penggunaan elektrik.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pengguna jalan raya, Safiee telah menyampaikan sebanyak 1,500 goodies kepada mereka yang melalui pekan Daro.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat, ketua kaum, serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Daerah Daro.

Kempen tahunan ini diharap dapat memberi impak positif kepada pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman lebih selamat dan lancar. - EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman