Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
MUKAH: Skuad Antidadah memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menggerakkan aktiviti dan program pendidikan pencegahan dadah di seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, berkata penubuhan skuad ini adalah untuk memberi kesedaran mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah kepada semua.
“Kita sedia maklum bahawa isu penyalahgunaan dadah ini sudah lama wujud, tetapi kita perlu berusaha untuk membanterasnya. Disebabkan itu, wujudnya kluster Skuad Muda (Skuad Junior) yang melibatkan pelajar sekolah berumur 17 tahun ke bawah.
“Ini adalah antara inisiatif Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk terus mendidik anak muda mengenai risiko penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Skuad Antidadah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Kemahiran Bahagian Mukah, di Politeknik Mukah (PMU), di sini, petang semalam.
Mengulas lanjut, Royston menyatakan bahawa masa depan sesebuah negara bergantung kepada golongan muda. Jelasnya, mereka perlu dibimbing dengan baik supaya tidak terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat, terutamanya penyalahgunaan dadah.
Royston, yang juga Pengerusi Skuad Antidadah Sarawak, turut memberitahu bahawa jawatankuasa Skuad Antidadah Peringkat IPT dan Institut Kemahiran di Mukah telah berjaya diwujudkan bagi kesemua lima institusi sejak tahun 2023.
“Ini termasuklah Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Mukah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Kampus Mukah, PMU, Sarawak Skills Mukah, dan GiatMara Mukah.
“Di samping itu, terdapat enam Kluster Skuad Antidadah iaitu Skuad Aktif, Prihatin, Rohani, Kempen Antidadah Melalui Informasi (KAMI), Korporat, dan Muda. Program yang diadakan di Mukah untuk dua hari iaitu hari ini dan esok melibatkan tiga kluster: Prihatin, KAMI, dan Rohani,” jelasnya.
Royston turut berkongsi jumlah terkini keahlian Skuad Antidadah seluruh Sarawak iaitu 11,682 ahli, manakala di Mukah seramai 551 ahli.
Selain itu, beliau menegaskan agar orang ramai membuang stigma terhadap mereka yang pernah terjerumus dalam penyalahgunaan dadah. “Stigma ini perlu dibuang kerana mereka berhak untuk hidup bersama kita seperti biasa. Kita perlu elakkan diri daripada berfikiran negatif terhadap mereka, dan itulah sebabnya penubuhan Skuad Antidadah diwujudkan untuk mengelakkan golongan muda terjerumus dalam aktiviti tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Royston menyeru semua pihak untuk bekerjasama mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat kerana ia adalah tanggungjawab bersama. “Walaupun tidak mungkin 100 peratus dapat dicegah, usaha untuk memastikan golongan muda tidak terjerumus dalam penyalahgunaan dadah perlu dilaksanakan,” tambahnya.
LANCAR… Royston (lima kiri) melancarkan simbolik Pelancaran Skuad Antidadah IPT dan Institut Kemahiran Bahagian Mukah, petang semalam.
RAKAM KENANGAN… Royston merakam kenangan bersama yang lain dalam majlis tersebut.