Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
MUKAH: Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Mukah mengambil inisiatif mengedarkan bubur sagu gula merah bagi menyemarakkan semangat bulan Ramadan.
Agihan yang diadakan di Dataran Pehin Setia Raja bermula jam 2.30 petang tadi, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
Sehubungan itu, kira-kira 500 bungkus bubur sagu gula merah diagihkan kepada orang ramai hasil kerjasama dan gotong-royong Majlis KMKK itu sendiri.
Memandangkan bubur lambuk sudah biasa diagihkan, majlis tersebut mengambil inisiatif untuk mengedarkan bubur sagu gula merah kerana ia jarang dibuat di Mukah.
Pada masa sama, program ini turut bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara KMKK dan penduduk setempat.
Majlis KMKK berharap agar program seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadan.