Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
Exco SABERKAS Negeri Sarawak, Norazryna Abdul Rahman berkata, lokasi pengedaran bubur lambuk di Pasar Dalat dipilih kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan ramai.
“Kami memilih kawasan ini kerana ia strategik dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 600 bungkus bubur lambuk telah diedarkan hasil gotong-royong kira-kira 20 ahli SABERKAS Cawangan Dalat.
“Program ini merupakan acara tahunan SABERKAS, dan kami berharap lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaatnya.
“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat dengan ahli SABERKAS,” tambahnya.
Norazryna turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah hadir menyempurnakan program tersebut.