Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Kebajikan, keharmonian pekerja dengan majikan perlu terpelihara

Disiarkan pada 29 May 2024
Sumber Berita: Suara Sarawak

Awang Raduan (lima kiri) merakam kenangan bersama yang lain semasa program CSR penanaman pokok, di sini, pada Sabtu.

 

MUKAH: Program Labour Go Rural Area 5.0 yang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak perlu dimanfaatkan oleh penduduk di kawasan luar bandar.

Pengarah Tenaga Kerja Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkata, tujuan utama adalah untuk menyampaikan perkhidmatan secara terus JTK Sarawak serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“JTK Sarawak memahami dan mengambil maklum akan masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ini terutamanya bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan dan dengan adanya program ini, ia sedikit banyak memudahkan jabatan membawa perkhidmatan terus kepada penduduk tanpa perlu ke bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Labour Go Rural Area 5.0 di Dewan Serbaguna Centexs.

Mengulas lanjut, katanya, program yang julung kali diadakan di Mukah membawa perkhidmatan secara terus kepada masyarakat dalam usaha memperkenal secara lebih meluas.

Jelasnya, ia juga meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang awam berkaitan hak-hak sebagai pekerja, peluang pekerjaan dan menambah kemahiran teknikal kepada golongan belia yang memerlukan.

“Bagi jumlah pampasan daripada pemberhentian kerja yang telah dilaporkan dan diterima oleh JTK Sarawak, jumlah terkumpul setakat ini telah memanfaatkan pekerja berjumlah RM7,755,551.76.

“Manakala, sebanyak 744 kes melibatkan amaun perintah mahkamah buruh sebanyak RM4,956,914.23 yang memanfaatkan lebih 500 pekerja.

“Setakat Mei 2024, jumlah kompaun yang ditawarkan sebanyak RM91,500 dan pembayaran telah diterima sepenuhnya,” jelasnya lagi.

Tegasnya, JTK Sarawak mengambil serius akan pelanggaran undang-undang perburuhan negara oleh majikan yang beroperasi di Sarawak khususnya.

Beliau turut berharap agar kebajikan pekerja swasta di Sarawak sentiasa terjaga dan keharmonian antara majikan dan pekerja terpelihara.

Sehubungan itu, Awang turut menzahirkan penghargaan kepada peserta yang telah menghadirkan diri sepanjang empat hari di Bahagian Mukah dan dianggarkan hampir 1,000 pengunjung yang memeriahkan program ini.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip berkata, program ini merupakan satu inisiatif dan usaha JTK Sarawak untuk mendekatkan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

“Usaha JTK Sarawak yang membawa perkhidmatan secara terus kepada penduduk di kawasan luar bandar ini perlu dihargai dan dimanfaatkan oleh ramai.

“Mereka bukan sahaja mendidik kita mengenai perkhidmatan disediakan, malah mendedahkan mengenai undang-undang berkaitan perburuhan, ceramah dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada JTK Sarawak kerana memilih Mukah sebagai lokasi untuk mengadakan program ini.

Selepas majlis perasmian, JTK Sarawak turut melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu penanaman pokok di Tapak Pesta Kaul Mukah.


HADIR…Antara orang ramai yang hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Labour Go Rural Area 5.0.



image Undian
image Pengumuman