Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Sebuah kolam renang awam saiz Olimpik bakal dibina di Dalat

Disiarkan pada 09 Jun 2024
Sumber Berita: Utusan Borneo


Fatimah menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Anjung Fatima di Dalat, hari ini.


DALAT: Sebuah kolam renang awam bersaiz Olimpik dengan anggaran kos keseluruhan RM25 juta bakal dibina di Dalat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, permohonan pembinaan kolam renang tersebut diajukan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan diluluskan.

"Saya minta daripada Premier, di mana cadangan daripada Temenggung Hendi Suhai berbisik supaya memohon kolam renang. 

"Bila saya fikir, sudah tiba masanya Dalat mempunyai kolam renang awam sendiri dan permohonan ini diluluskan oleh Premier," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Bimbingan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta (PIBKS) di Dewan Jerunai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat dan Perasmian Anjung Fatima Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat, hari ini.

Beliau berkata, kalau saiz Olimpik (pembinaan) kolam renang awam itu dianggarkan menelan kos kira-kira RM25 juta, kalau saiz kecil sedikit maka kurang sedikit kosnya.

"Alang-alang menyeluk pekasam, saya minta yang besar terus," jelasnya.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak meninjau tanah kerajaan negeri berdekatan Kebajikan Dalat (KKD) dan mengenal pasti lokasi sesuai.

Katanya, jika semua proses seperti pengambilan tanah, pelan projek, peruntukan dan sebagainya berjalan lancar maka pembinaan kolam renang itu dijangka boleh bermula pada 2026.

"Pada awalnya cadangan membina kolam renang tersebut adalah di Stadium Perpaduan Dalat, namun Premier mencadangkan dibina di KKD memandangkan kawasan tersebut lebih ramai datang.

"Ini kerana, Premier tidak mahu berlaku seperti di Kapit di mana kolam renang dipenuhi lumut kerana tidak dikunjungi orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu bahawa Dalat melahirkan ramai atlet sukan dalam pelbagai acara, antaranya kayak, hoki dan paralimpik dalam acara badminton.

Justeru, dengan adanya kolam renang itu nanti diharap dapat melahirkan juara kalangan atlet Dalat dalam acara sukan renang pada masa akan datang.

 


image Undian
image Pengumuman