Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

‘Lubak Salui Lukut’ antara tarikan di Pesta Kaul Mukah 2024 dari 13-21 Julai

Disiarkan pada 13 Jul 2024
Sumber Berita: Suara Sarawak

Hanifah (dua kanan) dan Yakub (kiri) melepaskan Pertandingan Lubak Salui Lukut di Tapak Pesta Kaul di sini, hari ini.


MUKAH: Pesta Kaul Mukah 2024 menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung selain mempamerkan budaya masyarakat di Mukah sepanjang penganjurannya di sini, bermula dari 13 hingga 21 Julai ini.

Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata, antaranya adalah dengan memperkenalkan permainan tradisional masyarakat di Mukah.

“Salah satu permainan tradisi masyarakat di sini ialah Lubak Salui Lukut.


Hanifah (duduk kanan) dan Yakub (duduk kiri) merakam kenangan bersama peserta lain semasa berkunjung ke reruai Kelab Rekreasi Salui Lukut Mukah.

“Alhamdulillah, pada tahun ini, jumlah peserta paling banyak berbanding tahun sebelumnya.

“Kita dapat lihat bahawa masyarakat masih berminat dalam permainan ini dan ia adalah salah satu tarikan semasa Kaul yang perlu dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melepaskan Pertandingan Lubak Salui Lukut di Tapak Pesta Kaul di sini, hari ini.

Menyentuh tentang Salui Lukut, salui bermaksud perahu, manakala lukut ialah daun yang digunakannya untuk belayar.

Permainan ini menggunakan sepenuhnya kuasa angin untuk menggerakkan perahu.

Jelasnya, terdapat banyak lagi aktiviti lain yang akan dilaksanakan dan pameran komuniti disediakan buat pengunjung.

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu, selain Pesta Kaul, aktiviti lain yang berlangsung di Mukah pada minggu ini ialah Regata Mukah.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan Mukah dengan menyaksikan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, berkata gerai komuniti turut menyediakan pelbagai makanan tradisional Melanau dan pengunjung boleh merasainya.

“Tahun ini kita mempunyai sebanyak 22 gerai komuniti daripada sekitar Bahagian Mukah melibatkan Balingian, Dalat, Tanjung Manis, Daro, Matu dan sebagainya.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat gerai komuniti yang menunjukkan demonstrasi penuh memproses sagu.

“Di samping itu, kita juga mempunyai galeri peringatan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan ini merupakan satu kelainan pada Pesta Kaul kali ini,” katanya.

Tambahnya, beliau turut menyasarkan lebih 30,000 pengunjung ke Pesta Kaul 2024 kerana terdapat dua acara besar dianjurkan di Mukah pada minggu ini.



image Undian
image Pengumuman