Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Abang Johari mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pembangunan di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah, hari ini.-Gambar UKAS
MUKAH: Polisi tegas yang diperkenalkan kerajaan Sarawak adalah bagi memastikan setiap kontraktor melaksanakan projek pembangunan dengan berkesan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari menegaskan langkah itu diambil untuk memastikan projek berjalan lancar dan memenuhi keperluan rakyat.
Menurut beliau, polisi itu menetapkan kontraktor yang gagal memulakan kerja dalam tempoh satu bulan selepas dianugerahkan projek akan dikenakan tindakan, termasuk penarikan balik kontrak.
"Tindakan ini adalah demi memastikan projek berjalan lancar dan kepentingan rakyat terjaga," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pembangunan di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah, hari ini.
Beliau turut mendedahkan, kontrak bagi beberapa projek pembangunan telah ditamatkan sebelum ini susulan kegagalan kontraktornya, termasuk projek pembinaan Jalan Samarahan dan Jambatan Marudi.
"Bagi memastikan projek ini diteruskan, kerajaan telah melantik kontraktor penyelamat yang lebih berkelayakan untuk mengambil alih dan menyiapkan projek-projek tersebut mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Abang Johari merakam gambar kenangan selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pembangunan di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah, hari ini.-Gambar UKAS
Sehubungan itu, Abang Johari menekankan kerajaan Sarawak akan lebih teliti dalam memantau latar belakang syarikat bagi memastikan hanya kontraktor yang benar-benar berkelayakan diberikan projek.
“Langkah ini penting untuk mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan pembangunan negeri.
“Ini merupakan amaran tegas kepada kontraktor untuk menyiapkan projek infrastruktur dengan segera selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai sifar projek sakit di negeri ini,” ujar beliau.