Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
TANJUNG MANIS: Pembangunan menyeluruh Pantai Belawai bakal memberi impak besar yang mampu menjana transfomasi sosial dan ekonomi penduduk dalam tempoh jangka panjang.
Pemier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selaras dengan hasrat itu, Kerajaan Sarawak menyediakan sejumlah peruntukan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
Sebelum ini katanya, kerajaan turut menyalurkan peruntukan secara berperingkat- peringkat bagi memastikan Pantai Belawai berubah wajah seterusnya kekal sebagai tarikan utama pengunjung.
“Saya ingin memaklumkan pembangunan Pantai Belawai ini tidak terhenti setakat ini.
Terbaharu kerajaan meluluskan projek pembangunan dan pembinaan pantai pelancongan di Belawai bernilai RM161 juta.
“Apabila projek ini siap dilaksanakan, Pantai Belawai akan menjadi pantai yang cantik yang lengkap pelbagai kemudahan yang boleh menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh. pada Majlis Penangguhan Pesta Belawai, semalam.
Dalam pada itu, Abang Johari juga berkata, dua acara utama iaitu pertandingan memancing dan acara pantai dilihat berpotensi dijadikan produk utama Pesta Belawai berikutan impak besarnya ke atas ekonomi, sosial dan budaya penduduk setempat .
“Acara seperti ini bukan hanya meningkatkan perbelanjaan tempatan dalam sektor penginapan, makanan, dan perkhidmatan, sebaliknya perniagaan kecil turut mendapat manfaat daripada peningkatan jualan.
“Selain itu, ia juga mampu memperkukuh ikatan komuniti dan dalam masa yang sama, memperkenalkan budaya dan warisan masyarakat kepada orang luar di samping memperluaskan kefahaman budaya,” katanya.
Beliau juga optimis kewujudan sistem perhubungan seperti jalan raya dan jambatan yang siap tidak lama lagi juga bakal memberi impak besar ke atas Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya.
Justeru, bagi merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan Tanjung Manis ujarnya, kerajaan menyediakan prasarana lengkap yang berperanan sebagai akses penting kepada pengunjung.