Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Kospen Pemadam Mukah Fokus Tangani Isu Dadah, Promosi Gaya Hidup Sihat

Posted on 18 Nov 2024
Source of News: UKAS



MUKAH: Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) anjuran bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Mukah dilihat sebagai langkah penting dalam menangani peningkatan masalah penyalahgunaan dadah dan mempromosikan amalan hidup sihat dalam komuniti.

Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib menegaskan perlunya pendekatan menyeluruh untuk mengatasi isu ini.

Menurut beliau, statistik terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.

“Dari Januari hingga September tahun ini, 169,961 penagih dadah dikesan di seluruh negara, mencatatkan peningkatan sebanyak 31.6% berbanding 128,911 orang pada tahun lepas.

“Ketagihan dadah bukan sekadar masalah individu, tetapi turut memberi kesan besar kepada masyarakat.

“Ia sering menjadi punca jenayah seperti kecurian, pecah rumah, ragut, dan konflik keluarga. Kita perlu memahami punca ketagihan ini, termasuk faktor seperti masalah keluarga, pengaruh rakan sebaya, atau tekanan hidup,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam program tersebut di Dewan Sungai Alo, Mukah pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dato Hanifah turut menyeru masyarakat untuk memberikan peluang kedua kepada bekas penagih agar mereka dapat memulakan kehidupan baru tanpa stigma.

“Kita perlu merangkul mereka kembali ke dalam komuniti melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dan memberikan peluang pekerjaan. Dengan sokongan ini, mereka boleh membina semula kehidupan yang lebih bermakna,” ujar beliau.

Selain itu, beliau turut menyatakan harapannya agar program seperti ini dapat diteruskan oleh setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada masa akan datang.

“Program seperti ini mampu menjadi nilai tambah untuk membina kehidupan yang ceria, harmoni, dan sejahtera, sekali gus melahirkan generasi yang mengutamakan kesihatan,” katanya lagi.

Hadir sama Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, Pemanca Mohamad Jali Kawi dan Penghulu Mahmut @ Ahmad Mahmud Jakriah.-EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman