Balingian Perlu Dinaik Taraf Ke Daerah Penuh
Disiarkan pada 14 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Daerah Kecil Balingian perlu dinaik taraf ke daerah penuh memandangkan keluasan kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, Balingian berkeluasan 3,025 kilometer persegi dan telah wujud sebelum Malaysia ditubuhkan.
“Selaras dengan ini, kita mohon agar Daerah Kecil Balingian dinaik taraf ke daerah penuh,” katanya demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam pada itu, ADUN Balingian itu juga memohon agar Bandar Satelit Mateding turut direalisasikan.
Jelasnya, perancangan pembangunan Bandar Satelit Mateding ialah projek pembangunan bandar terancang di Sarawak, iaitu di bawah inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan diuruskan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Ujarnya, bandar satelit ini terletak di Bahagian Mukah dan direka bentuk untuk menyokong aktiviti ekonomi dan perindustrian yang semakin berkembang di rantau ini dengan menyediakan kemudahan kediaman, komersial dan komuniti.
Selain itu, Abdul Yakub turut mengutarakan agar Projek Alaf juga dilaksanakan dengan segera agar dapat memberi manfaat pendidikan, ekonomi dan kualiti hidup kepada rakyat.
“Kita berharap dengan adanya peruntukan RM20 juta dari Bajet 2025, akan mempercepatkan perlaksanaan projek yang sudah lama ditunggu oleh rakyat,” ujarnya. -EDISI UKAS