Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Program Matlamat Pembangunan Mampan galak 400 peserta pelihara alam sekitar di Mukah

Posted on 16 Nov 2024
Source of News: Suara Sarawak

Hanifah (baju merah) menanam pokok semasa Program SDG Daerah Mukah, hari ini.

 

MUKAH: Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diadakan di sini adalah untuk menggalakkan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan di daerah ini.

Program anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) ini melibatkan 400 peserta.


Hanifah (tiga kanan) membuka replika tong sampah kitar semula yang dihasilkan oleh pelajar PMU sebagai simbol perasmian program tersebut.

Mereka terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah, Politeknik Mukah (PMU), dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Mukah serta beberapa sekolah menengah dan rendah di kawasan Mukah.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata program ini adalah penting kerana ia mencerminkan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Hanifah (tengah) menerima cenderamata daripada pihak RECODA pada program tersebut.


“Program seperti ini adalah contoh kepada rangka utama SDG dan ia menyentuh empat indikator SDG, iaitu yang ke-13 (tindakan terhadap iklim), ke-14 (kehidupan di bawah air), ke-15 (kehidupan di darat dan ke-17 (kerjasama demi matlamat).

 

“Aktiviti gotong royong pembersihan pantai dan penanaman pokok yang kita laksanakan bukan sahaja memelihara, malah memulihara serta melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program SDG Daerah Mukah 2024 di Tapak Pesta Kaul di sini, hari ini.

Hanifah, yang juga Ahli Parlimen Mukah, memberitahu, dua objektif yang ingin dicapai dalam program ini ialah mempromosi kelestarian alam sekitar dan memperkasakan sosioekonomi dengan pemberian bantuan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan mampan.

Ujarnya, inisiatif ini adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi bagi memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.

Sehubungan itu, beliau turut berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada semua untuk menyertai dan menyokong program SDG.

Dalam pada itu, sebanyak 30 sekolah menerima sumbangan ‘Back To School’ daripada pihak Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), manakala Press Metal Sdn Bhd menyumbang bantuan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terdahulu, Hanifah bersama tetamu lain turut berpeluang menanam pokok di sekitar kawasan Tapak Kaul Mukah dan sebanyak 100 pokok ditanam pada program tersebut.


Hanifah (duduk tengah) merakam kenangan bersama peserta lain selepas program tersebut.


image Undian
image Pengumuman