Program Belia Bermukun Perkukuh Warisan Tradisi Di Sarawak
Posted on 06 Dec 2024
Source of News: UKAS

MUKAH: Program Belia Bermukun sempena Sambutan Hari Belia Sarawak 2024 di Kingwood Resort, Mukah menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya tradisional kepada generasi muda.
Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Belia), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Zulkarnain Ismail berkata, program ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti belia tetapi juga membantu mengekalkan tradisi bermukun di negeri ini.
“Kita tidak mahu belia di Sarawak melupakan budaya mereka, terutamanya tradisi bermukun. Alhamdulillah, melalui program ini, ramai belia mencuba untuk bermukun sambil memahami budaya yang kaya dengan adat dan kepercayaan masyarakat kita,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut pada Rabu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa tradisi melalui penglibatan belia.
Menurut Zulkarnain, ini merupakan kali pertama program bermukun dianjurkan semasa Sambutan Hari Belia Sarawak dengan menampilkan konsep baharu yang relevan dengan belia masa kini.
Sementara itu, Ikon Belia Sarawak 2018, Ahmad Qadri Basri, menyifatkan Program Belia Bermukun sebagai satu aktiviti berkonsepkan ‘edutainment’ yang memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari adat, kesantunan dan tradisi melalui hiburan.
“Konsep ini menjadikan program lebih meriah dan penuh dengan elemen inovasi, kreativiti, serta intelektual yang diterapkan melalui pendekatan 5G – Growth Mindset, Global Networks, Glorious Tradition, Grateful Society & GoGreen Awareness,” jelasnya.
Qadri turut berbangga dengan komitmen golongan belia Mukah yang melibatkan diri sebagai sukarelawan tanpa mengharapkan ganjaran sambil menyeru masyarakat untuk terus memberi sokongan terhadap usaha kerajaan dalam memajukan belia melalui program seperti ini.
Bertemakan Pesta Pantai dan Neon, sambutan kali ini tetap diteruskan meskipun menghadapi cabaran cuaca. Qadri menegaskan, fokus utama adalah mencapai misi dan visi program tanpa membiarkan cabaran menjadi penghalang.
“Setiap cabaran ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting ialah keberanian untuk keluar dari zon selesa dan mencari penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Program Belia Bermukun ini menampilkan tiga pasangan bermukun iaitu Iskandar & Asgar (Mukah), Awang Raden Awg Said & Nur Hisyam Baharudin (Daro) dan Mohd. Shahrul & Mohd. Saiful dari Mukah yang diiringi oleh tukang gendang Nabila dari Bintulu dan Atikah dari Daro serta Awang Kamal (pemain keyboard) menjadikan suasana lebih meriah. - EDISI UKAS