Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Majlis Sejambak Kasih ceriakan penerima semasa perayaan

Posted on 14 Jan 2025
Source of News: Suara Sarawak

Fatimah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Daerah Dalat, di sini, hari ini.

 

DALAT: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan rakyat yang memerlukan menerima bantuan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup, khususnya semasa musim perayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, menegaskan bahawa Majlis Sejambak Kasih diadakan untuk memastikan penerima bantuan tidak merasa terpinggir, terutama ketika perayaan.

“Majlis Sejambak Kasih telah menjadi tradisi di Sarawak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia bertujuan menceriakan penerima bantuan dan menunjukkan bahawa kita sentiasa bersama mereka, baik di waktu susah mahupun senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Daerah Dalat, yang berlangsung di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 83 penerima menerima hamper dan wang tunai sebagai sebahagian daripada program bantuan sempena Tahun Baharu Cina.

Dalam ucapannya, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, menyeru ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi anak-anak, terutamanya semasa musim monsun timur laut (MTL).

“Keselamatan anak-anak perlu diberi perhatian lebih, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Sekiranya perlu, saya menggalakkan mereka berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” ujarnya.

Selain itu, Fatimah turut menyampaikan sijil penghargaan, pelanjutan, dan pelantikan baharu kepada 14 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Dalat. Tiga penerima juga menerima Kenyalang Gold Card sebagai pengiktirafan khas.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah JKM Sarawak Norhayati Abdul Rahman, Pegawai JKM Mukah Dariel Tiong, Residen Bahagian Mukah Datuk Kueh Lei Poh, dan Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert.



TERIMA KASIH…Fatimah menerima cenderamata daripada Dariel (dua kiri) sebagai tanda kenang-kenangan.



RAKAM KENANGAN…Fatimah merakam kenangan bersama yang lain dalam majlis tersebut.


image Undian
image Pengumuman