Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
DALAT: Status pedalaman bukanlah kekangan bagi murid untuk menikmati kemudahan setara dengan sekolah-sekolah di kawasan bandar.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kecemerlangan murid tetap menjadi keutamaan, walaupun sekolah berada di lokasi terpencil.
“Saya memuji usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Klid/Plajau yang berjaya menganjurkan aktiviti rentas desa menggunakan jalan yang sedang dibina di kawasan ini.
“Walaupun jalan masih berpasir, ini membuktikan pihak sekolah mampu menggunakan sumber yang terhad dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apresiasi Pelajar SK Kampung Klid/Plajau, di sini, hari ini.
Fatimah menegaskan kecemerlangan tidak semestinya bergantung pada kemudahan lengkap.
“Dengan usaha gigih dan memanfaatkan sumber yang ada, kecemerlangan murid dan sekolah tetap dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut menggalakkan murid di kawasan sekolah untuk tinggal di asrama demi pembentukan disiplin yang lebih teratur.
“Kehidupan di asrama lebih berstruktur, dengan waktu makan, belajar, dan beriadah yang diatur dengan teliti oleh pihak sekolah.
“Sikap mematuhi jadual ini mendidik murid menjadi individu yang berdisiplin dan cemerlang,” tambahnya.
Fatimah turut menekankan pentingnya menghantar anak ke prasekolah untuk membentuk modal insan berkualiti pada masa depan.
Selepas majlis, beliau menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada pelajar SK Kampung Klid/Plajau.