Pendekatan Digital dan Pembangunan Inklusif Demi Kesejahteraan Komuniti Luar Bandar
Disiarkan pada 17 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS

MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menegaskan komitmennya untuk memastikan komuniti luar bandar, termasuk kawasan terpencil seperti Rumah Panjang Rantai Anak Melin dan Ulu Sebakong, tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Dalam lawatan ke beberapa rumah panjang baru-baru ini, beliau memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan infrastruktur serta memperkenalkan inisiatif digital seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
“Rumah panjang di kawasan luar bandar menghadapi cabaran besar, tetapi amanah saya sebagai wakil rakyat adalah memastikan pembangunan tetap sampai ke komuniti ini, walaupun cabaran fizikal dan jarak menjadi halangan,” kata Royston.
Beliau turut menjelaskan mengenai SKAS, bantuan kewangan berbentuk baucar digital yang boleh digunakan melalui aplikasi Spay Global.
Inisiatif ini, menurut Royston, bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi juga menggalakkan penggunaan transaksi digital seiring dengan matlamat Sarawak menuju ekonomi digital.
“Pemberian melalui baucar digital ini adalah persediaan kita untuk menghadapi ekonomi global yang semakin memerlukan transaksi dan perkhidmatan digital,” ujarnya.
Royston mengakui terdapat cabaran dalam mendaftarkan rakyat ke aplikasi seperti Spay Global dan Sarawak ID, namun kerajaan negeri akan memastikan proses ini dipermudahkan melalui program khas di Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.
“Program pendaftaran ini akan dilaksanakan di Mukah bermula 18 hingga 20 Januari, dan di Dalat pada 24 hingga 26 Januari. Jangan risau, pendaftaran SKAS dibuka sepanjang tahun,” tambah beliau.
Selain inisiatif digital, lawatan Royston turut menumpukan kepada projek pembangunan fizikal, seperti baik pulih rumah panjang usang di Rumah Panjang Rantai dan pembinaan rumah baru di Rampai Anak Nyawai, Ulu Sebakong.
Royston turut mengingatkan pemimpin akar umbi termasuk tuai rumah untuk proaktif dalam mengenal pasti keperluan komuniti dan memohon bantuan daripada kerajaan.
Dengan pendekatan menyeluruh, dari pembangunan infrastruktur hingga pemerkasaan digital, Royston optimis bahawa rakyat di kawasan luar bandar akan dapat menikmati kesejahteraan yang setara dengan komuniti di kawasan bandar.-EDISI UKAS