Mukah Maju, Rakyat Sejahtera
MUKAH: Tidak perlu viralkan sesuatu perkara kerana ia akan mengeruhkan keadaan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Katanya, sebarang aduan perlu menggunakan saluran yang betul dan bukannya bertindak dengan memuat naik di media sosial.
“Kalau maklumat yang sampai kepada pihak kami dengan cara dan saluran yang betul, sudah pasti bantuan akan sampai lebih awal kepada pengadu.
“Ini kerana, pada 24 Januari lalu, kami telah mengagihkan bantuan bakul makanan di kawasan Sebakong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, semalam.
Sehubungan itu, Royston turut memuji tindakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tellian kerana membantu menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan di kawasan Sebakong.
Katanya, walaupun masing-masing mempunyai komitmen yang perlu dilaksanakan, namun tetap turun bagi membantu mangsa banjir di kawasan tersebut.
“Jika orang lain tidak menghargai usaha ini, tidak mengapa kerana Tuhan sentiasa memberkati orang yang berniat baik.
“Teruskan yang terbaik untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambahnya, bantuan diberikan kepada penduduk di Sebakong itu bukan dilaksanakan bagi membalas respon viral pengadu, tetapi merupakan tugasan kecemasan Pemuda PBB Tellian pada hari tersebut.
Terdahulu, pemuda PBB Tellian telah menyiapkan dan membungkus 15 bantuan bakul makanan dan terus bergerak ke Sebakong.
Pada jam 6.30 petang, tugasan selesai dan mereka bergerak balik ke Mukah.
Pemuda PBB Tellian bekerjasama mengagihkan bantuan bakul makanan tersebut.
FOTO: FB N57 TELLIAN