Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

PPS Jemoreng Dibuka, Keluarga Pertama Dipindahkan Akibat Banjir

Posted on 01 Feb 2025
Source of News: UKAS


MATU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jemoreng dibuka pada jam 2.30 petang, Sabtu, selepas sebuah keluarga dari Kampung Jemoreng terpaksa dipindahkan akibat kediaman mereka dinaiki air dan tidak lagi selamat didiami.

Keluarga Rozaini Razali, 40, bersama isterinya, Hateni Tompel, mengambil keputusan berpindah ke PPS kerana bimbang dengan keselamatan diri mereka berikutan paras air yang semakin meningkat dan mula memasuki rumah mereka.

Selain itu, PPS di Dewan Masyarakat Kampung Bawang Matu juga telah bersedia untuk menerima lebih ramai mangsa sekiranya keadaan banjir semakin buruk.

Jawatankuasa Bencana Daerah Matu menggesa penduduk di kawasan yang berisiko tinggi agar segera berpindah sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.

Antara kampung yang perlu berwaspada adalah Kampung Bertong, Kampung Sekaan Besar, dan Kampung Jemoreng, di mana paras air terus meningkat berbanding semalam.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, terutamanya pada waktu malam, kerana air dari kawasan hutan berhampiran telah melimpah ke jalan utama.

Beberapa laluan utama yang terjejas termasuk Jalan Utama Sekaan Besar, Jalan Utama Kampung Halud-Kampung Sok, serta Jalan Utama Matu-Kampung Jemoreng.

Pihak berkuasa terus memantau situasi banjir dengan rapi dan menasihatkan orang ramai agar mengikuti arahan pemindahan demi keselamatan mereka. –EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman