MATU: Seramai 148 penduduk dari 20 buah rumah di sekitar Matu yang merupakan mangsa banjir menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Matu.
Hadir sama semasa mengagihkan bantuan itu pada Jumaat ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato' Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili serta wakil dari agensi lain.
Menurut Pegawai Menguasa Kebajikan Daerah Matu, Dayang Abra Abg Brahim, bantuan berupa beras, keperluan dapur dan makanan kering ini adalah bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir.
Antara kampung yang terjejas dan mendapat bantuan ini ialah Pasar Lama & Pasar Baru Matu, Kg Treng Matu, Kg Masjid Sekaan Besar Matu, Kg Jemoreng Matu, Kg Bertong Matu, Kg Bawang Matu dan Kg Tian Matu.
Sekiranya hujan berterusan dan paras air semakin naik, berkemungkinan akan ada mangsa yang akan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah mula dibuka untuk penduduk terjejas. - EDISI UKAS